SUNGAI UDANG: Pemberian komputer riba secara percuma akan turut diperluas kepada pelajar anak golongan M40 sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu pertemuan hari ini.

“Atas persetujuan YAB Perdana Menteri yang telah berjumpa dengan saya pagi tadi, beliau pada dasarnya telah bersetuju untuk meliputi pembahagian laptop ini kepada anak-anak dalam kumpulan M40 sekali di seluruh negara.

“Walaupun tidak dimasukkan dalam manifesto, anak-anak kumpulan M40 ini kita akan berikan komputer riba atau laptop percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, Sungai Udang di sini pada petang Khamis.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Mohamad Ali Mohamad dan Calon BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Mujahid isytihar harta RM2.54 juta, miliki dua kondo

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Terdahulu, Ahmad Zahid berkata tawaran baharu itu antara penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dalam manifesto jika BN kekal mentadbir negara.

Sebelum ini, menerusi manifesto Pelan Amal dan Usaha (PADU), BN mengumumkan dua inisiatif besar iaitu pemberian komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.