KUALA LUMPUR: Politik negara ini tidak akan lari daripada berpegang kepada tonggak kemelayuan yang merangkumi bahasa, budaya, agama Islam serta Raja-raja Melayu.

Maka tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tohmahan sejak dahulu mengatakan bangsa Melayu akan tertindas sekiranya PH menjadi kerajaan adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, perkara-perkara tentang kedaulatan Melayu sepertimana yang tertakluk dalam Perlembagaan itu sudah pun disepakati oleh semua parti komponen dalam PH termasuk DAP, yang sering menjadi sasaran.

“Itu satu dongeng yang tak sepatutnya timbul daripada seorang tokoh agama, kalaupun dikatakan tokoh agama, tapi saya anggap ini kenyataan tokoh politik.

“Saya puas hati ramai juga ulama dan guru-guru agama yang tidak senang dengan cara rendah akal, budi dan akhlak serta fitnha ini dan menganggap parti itu sebagai agama yang kononnya monopoli agama,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Tegas Anwar lagi, pendiriannya terhadap soal Melayu dan Islam juga sudah diketahui, yang turut dijelaskan oleh beliau dalam beberapa penulisannya sejak dahulu lagi.

Antaranya yang terbaharu adalah ulasan versi bahasa Melayu beliau terhadap kitab “Munyatul Musolli” karangan Syeikh Daud Abdullah al-Fatani yang katanya ditulis ketika di penjara dan pernah diterbitkan di London.

“Itu menunjukkan tradisi ilmu Islam dan ketamadunan serta kenegaraan yang dibawa oleh tokoh-tokoh ulama zaman silam.

“Jadi saya anggap ini tugas kita dalam dakwah dan dengan sendirinya mempamerkan dan menjelaskan sikap kita terhadap agama Islam dan menggali khazanah warisan bangsa,” katanya.

PRU15 | Politik Malaysia tak boleh lari daripada tonggak kemelayuan - Anwar