KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyasarkan tidak lebih 10 kerusi parlimen yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Beliau menegaskan selain memberi laluan kepada calon parti pembangkang lain, PSB juga mahu mengelak kerugian sumber parti dengan hanya meletakkan calon di kerusi boleh menang.

“Cabaran terdekat kami ialah pilihan raya parlimen seperti yang anda tahu. Ia mungkin diadakan pada bila-bila masa saya tidak tahu.. mungkin lambat lagi tetapi cabaran pertama kita adalah untuk membuat persediaan untuk pilihan raya parlimen.

“Kita mungkin tidak bertanding banyak kerusi, mungkin 10 atau kurang tetapi kita pastikan kerusi yang ditandingi adalah kerusi yang boleh menang.

“Kerana kami mahu mengekalkan sumber kami di kerusi-kerusi yang kami fikir boleh dimenangi.. Ia termasuk kerusi Setiausaha Agung saya YB Baru Bian,” katanya semasa ditemui pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ketiga PSB dekat sini pada Sabtu.

Tambahnya, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian akan menjadi calon tetapi masih belum memutuskan untuk mempertahankan kawasan parlimen itu atau bertanding di kawasan lain.

Sementara itu Baru Bian menjelaskan, PSB telah mencapai persefahaman berhubung pembahagian kerusi dengan empat parti pembangkang tempatan iaitu Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Ia bagi memastikan akan berlaku pertembungan satu-lawan-satu dengan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kesemua 31 kerusi parlimen Sarawak.

“Saya rasa DS Wong Soon Koh telah menyebutnya sebelum ini, ia harus merangkumi semua parti pembangkang. Kita kena bekerjasama walaupun kita mempunyai beberapa perbezaan.

“Tetapi saya pasti kita boleh bekerjasama dengan satu matlamat menentang musuh sebenar kami iaitu GPS di Sarawak dan sudah tentu PN di Persekutuan dan UMNO-BN lah,” katanya.

Terdahulu rundingan kerjasama PSB dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menemui jalan buntu kerana pertembungan kerusi.

Pun begitu hari ini PSB masih terbuka untuk berunding semula dengan DAP serta komponen lain Pakatan Harapan kerana mengambil iktibar dari keputusan Pilihan Raya Sarawak ke-12 yang dimonopoli GPS Disember lalu.