KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan bertanding secara solo tanpa menyertai sebarang gabungan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Rembau, Negeri Sembilan dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak dengan mempertaruhkan dua aktivis yang banyak berkhidmat di kawasan tersebut.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj mengumumkan S.Tinagaran, 45, atau lebih dikenali Cikgu Tina akan bertanding di Parlimen Rembau manakala peguam yang juga Timbalan Setiausaha Agung PSM, K.S. Bawani, 36, di DUN Ayer Kuning.

"PSM bertanding di dua tempat yang tidak pernah kami bertanding sebelum ini tetapi aktif membantu rakyat di kawasan itu dengan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat termasuk pekerja ladang, petani, penternak dan pekerja kontrak kerajaan," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata PSM tidak akan bertanding di kawasan disandang Pakatan Harapan (PH) bagi memberi peluang kepada PH mendapat kemenangan selain menangkis sebarang tafsiran bahawa PSM berniat membalas dendam ekoran kegagalan kerjasama pilihan raya dengan PH.

Jeyakumar berkata beliau juga tidak bertanding di Parlimen Sungai Siput, Perak buat pertama kali sejak 1999 kerana tidak mahu memberi gambaran bahawa PSM mensabotaj calon PH serta dipersalahkan jika PH tidak mendapat undi yang banyak.

Sebelum ini, PSM membatalkan kerjasama dengan PH selepas permintaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput pada PRU15 ditolak.

-- BERNAMA