PETALING JAYA : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengakui mencadangkan agar Penyandang Parlimen Sungai Buloh, R.Sivarasa dikekalkan sebagai calon parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) di kerusi itu selepas meneliti maklum balas daripada akar umbi dan pihak terlibat.

Bagaimanapun, beliau akur dan menghormati keputusan dibuat Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang muktamad dengan keputusan dibuat.

"Untuk Sungai Buloh, saya boleh maklumkan bahawa perbincangan mengenai calon Sungai Buloh adalah antara yang paling panjang dan rumit sepanjang proses untuk memilih calon.

"Pertamanya, kerana ia apabila ada muka baharu, sudah tentu ia akan melibatkan pengguguran calon sedia ada dan calon sedia ada itu ada rekod yang panjang dengan rakyat dan parti, iaitu YB Sivarasa.

"Memang ada perbezaan pendapat antara jawatankuasa calon dan saya dengan pandangan Presiden kerana saya boleh umum terus bahawa saudara Sivarasa dikekalkan. Namun, Presiden parti ada pandangan berbeza dan saya menghormati pandangan dan budi bicara tersebut.

"Kuasa menetapkan calon adalah kuasa Presiden dalam mana-mana parti. Bezanya (dalam) PKR, prosesnya berjalan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pada Khamis.

Beliau bagaimanapun, melahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk akar umbi yang memberi maklum balas terhadap pencalonan di kerusi Sungai Buloh yang turut ditandingi nama besar dari BN, iaitu Khairy Jamaluddin.

"Kalau mengikut kepada maklum balas awam, daripada pengundi memang ada maklum balas supaya dipertimbangkan balik calon. Namun, saya hormati keputusan Presiden bahawa lebih baik dikekalkan calon supaya kempen sudah berjalan ini diteruskan.

"Kita perlu fikir ke hadapan dan fokus kepada keseluruhan kempen. Bagaimanapun, saya menghargai setiap maklum balas, akar umbi dalam proses itu," ujarnya.

Sungai Buloh juga katanya dikira sebagai kubu kuat PKR dan pihaknya cuba mengetengahkan calon yang berwibawa kepada rakyat.
 
Sebelum ini, Anwar dalam satu majlis pelancaran manifesto PH di Klang, berkata senarai calon yang telah diumumkan PH sudah dimuktamadkan dan tiada keperluan untuk diteliti semula.