IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak mempunyai banyak duit untuk membuat poster gergasi seperti yang dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu, beliau juga teringin untuk berbuat demikian sekiranya mempunyai duit.

Ahmad Faizal berpendapat, Anwar perlu membuat seumpama itu untuk memperkenalkan diri kepada orang Tambun kerana beliau bukan berasal dari kawasan itu.

“Dia perlu memperkenalkan diri dia. Kalau dia buat poster kecil, orang tak nampak. Jadi kena buat lebih besar dan dengan itu mungkin dapat menarik perhatian orang Tambun.

“Itu kreativiti beliau, saya meraikan usaha-usaha ini. Beginilah kita berkempen di dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Esports Youth Cabin Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau mengulas kehadiran beberapa poster 'gergasi' Anwar di tepi Lebuhraya Utara Selatan dan berhampiran pintu gerbang Gugusan Manjoi.

Poster di Gugusan Manjoi yang terpampang sosok Presiden PKR itu disifatkan begitu unik dan besar dengan ketinggiannya dikatakan melebihi bangunan dua tingkat.

Mengulas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan posternya malam tadi, Ahmad Faizal berharap, ia tidak akan berulang.

“Kita menghargai demokrasi, kita menghargai kepelbagaian pendapat dan kita menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih.

“Namun kalau kita masih ada sikap seperti tidak faham proses demokrasi, tiada semangat demokrasi dalam pilihan raya ini, tentu ia akan mengundang kepada ketidakstabilan politik kerana apabila kita melakukan sesuatu, tentunya ada reaksi daripada pihak yang lain.

“Kalaulah dalam kalangan penyokong saya pula yang berada dalam berasa marah kerana keadaan itu berlaku, ia tentu akan mengundang masalah lain,” ujarnya.

Penyandang Parlimen Tambun itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.


“Namun saya ingin katakan kepada mereka yang telah merosakkan bukan saja poster saya, juga poster pesaing saya, perlulah kita jaga dengan baik dan tidak dirosakkan.. kerana akhirnya kita nak serahkan kebijaksanaan kepada rakyat,” tambahnya.

Menurutnya, tindakan merosakkan poster calon lain itu tidak semestinya memberi impak negatif kepada calon tersebut, sebaliknya ia mungkin mendapat simpati daripada orang ramai.

Beliau juga menyerahkan kepada pihak bilik gerakan yang berkenaan untuk membuat laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya pula tak ada duit banyak nak buat banner baharu, jadi itulah, nak kena tunggu tengok kalau ada duit lebih, nak kena tempah yang baharu,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, beliau dia berasa risau kerana yakin orang Tambun telah mengenalinya.