IPOH: Demam Pilihan Raya Umum (PRU) kembali lagi mewarnai pentas politik negara, yang memperlihatkan gabungan baharu dan pelbagai parti turut serta bertanding meletakkan calon masing-masing.

Sebut tentang PRU, Perak merupakan antara negeri yang menjadi pelopor kepada perkembangan politik negara, baik daripada sudut penubuhan parti terawal, termasuk melahirkan ramai pemimpin politik ternama yang ada sekarang.

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, menyingkap sejarah PRU pertama yang berlangsung pada tahun 1955, negeri ini menyaksikan peristiwa unik apabila Parti Islam Se-Tanah Melayu atau kini dikenali sebagai Pas, memenangi satu kerusi di Semanggol.

Ketika itu, PRU pertama itu dinamakan sebagai Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan dan dari situ dapat dilihat Perak merupakan negeri yang paling banyak kerusi.

"Unik sebenarnya sejarah pilihan raya di Perak waktu itu, lebih-lebih lagi keputusannya apabila 52 kerusi yang dipertandingkan, satu daripadanya dimenangi Pas di Kerian di Semanggol.

"Parti Perikatan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman dapat tawan satu Tanah Melayu kecuali satu kerusi di Semanggol, Perak. Ketika itu boleh kata Pas jadi satu-satunya pembangkang pada peringkat awal.

"Kalau singkap sejarah awal politik, Semanggol memang kubu kuat untuk gerakan keagamaan di Tanah Melayu, bermula daripada penubuhan maahad di situ, mereka turut mengerakkan politik berunsurkan Islam di situ," katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang pertama juga merupakan anak jati Perak iaitu Datuk Dr Mustapha Albakri Hassan, yang juga Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semasa zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman.

"Beliau memegang jawatan itu hampir 10 tahun, bermula pada tahun 1957 hingga 1967.

"Sebab itu kita boleh lihat ada nama jalan yang diabadikan sempena nama tokoh ini iaitu Jalan Mustapha Albakri, berdekatan dengan bandar raya Ipoh," katanya lagi.

Ujar pengkaji sejarah ini lagi, menyentuh perkembangan politik awal negara, Perak ada menyimpan sejarah unik tersendiri, memandangkan kebanyakan parti yang ada sekarang berakar umbi di sini.

"Contohnya parti politik Melayu pertama iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang ditubuhkan di Dewan Bandaran Ipoh pada penghujung tahun 1945, namun ia telah diharamkan ketika zaman darurat kerana British menganggap ia sebagai ancaman.

"Serpihan daripada parti itu, ahlinya banyak masuk parti lain seperti UMNO dan sebagainya.

"Selain itu, parti MIC sendiri ditubuhkan oleh seorang anak jati Perak yang bernama John A. Thivy, beliau lahir di Kuala Kangsar dan merupakan pengasas MIC," katanya lagi.

Selain itu katanya, sejarah awal bendera UMNO juga dipilih dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Ipoh.

"Dipercayai mesyuarat itu berlangsung di Madrasah Sharifah Masjid Paloh, di sini. Bendera UMNO yang digunakan hari ini juga diputuskan ketika mesyuarat tersebut, sekitar tahun 1946.

"Ketika itu Setiausaha Agung UMNO yang pertama ialah Datuk Abdul Wahab (Panglima Bukit Gantang), sebab itu banyak peristiwa berlaku di sini dan pejabat Setiausaha Agung UMNO pertama pun di Ipoh," katanya.

Katanya lagi, kewujudan institusi pendidikan di negeri ini ketika zaman dahulu juga berhubung kait dengan banyak perkara pertama.

"Institusi pendidikan seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI), dua institusi ini melahirkan ramai pemimpin negara ketika itu.

"Kalau kita lihat sekarang kebanyakan pemimpin utama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri merupakan alumni MCKK, dan ramai lagi," katanya.

Tambahnya, Speaker Dewan Negara pertama juga merupakan orang Perak iaitu Datuk Bendahara CM Yusuf, peranan tokoh itu turut dikenang dan diabadikan di nama jalan di Ipoh serta sekolah di Tanjung Tualang.