JASIN: Sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di Jasin yang ditutup baru-baru ini berikutan protes daripada ahli parti kembali beroperasi seperti biasa.

Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Hasan Abd Rahman berkata penutupan sembilan PDM berkenaan berlaku selama tiga hari sejak Sabtu lepas ekoran jentera parti tidak berpuas hati terhadap calon diputuskan pucuk pimpinan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Jasin itu berkata antara sembilan PDM yang ditutup termasuk Tehel, Kesang, Parit Perawas dan Sebatu.

"Isu penutupan bilik gerakan di beberapa PDM dalam Parlimen Jasin telah selesai dan beroperasi seperti biasa walaupun sebelum ini sembilan daripada 38 PDM itu ditutup dan perkara ini tidak membimbangkan.

"Jentera parti telah dapat menerima keputusan BN dan akur untuk bekerja sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan BN di kerusi tradisi parti itu sejak sekian lama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hasan berkata 98 cawangan UMNO yang turut berfungsi sebagai bilik gerakan BN juga telah diaktifkan untuk menggerakkan jentera menerusi gerak kerja yang telah dirangka dan dilaksanakan sejak Pilihan Raya Negeri Melaka pada tahun lepas.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengenai penutupan beberapa PDM BN di Jasin ekoran protes jentera parti yang tidak berpuas hati dengan calon parti itu bagi parlimen berkenaan.

Pada PRU15, BN yang mempertaruhkan Datuk Roslan Ahmad di kerusi Parlimen Jasin akan berdepan pertandingan empat penjuru melibatkan Datuk Mohd Daud Nasir mewakili Pejuang, Datuk Harun Mohamed (Pakatan Harapan) dan Zulkifli Ismail (Perikatan Nasional).

-- BERNAMA