ALOR GAJAH: Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan tidak mengharapkan Barisan Nasional (BN) Alor Gajah membentangkan 'permaidani merah' kepadanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Bakal calon BN bagi kerusi Parlimen Alor Gajah itu berkata selaku pemain 'import' diturunkan parti di kerusi tersebut, sokongan dan penerimaan kepimpinan BN Alor Gajah menjadi antara refleksi kepada sokongan pengundi.

"Sudah tentu saya akan berbincang dengan mereka yang arif situasi politik di sini dan sebagai calon luar, saya tidak boleh minta dibentangkan permaidani merah," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.


Beliau turut mengakui berdepan cabaran besar apabila bakal berdepan dua calon 'heavyweight' iaitu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu daripada Perikatan Nasional (PN) dan bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari (Pakatan Harapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (5 Nov) sebagai hari penamaan calon, pengundian awal (15 Nov) dan hari pengundian pada 19 Nov.

-- BERNAMA