KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkemungkinan besar tidak akan mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Sebaliknya akan memperkenalkan beberapa muka baharu bagi mewakili parti itu.

Presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata pihaknya kini dalam proses mengenal pasti calon-calon berpotensi untuk bertanding menerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen bagi menjalankan peranan tersebut yang akan diketuai ADUN mereka bagi tujuh kerusi tradisinya.

“Seperti saya katakan, berkemungkinan besar ADUN tidak bertanding untuk parlimen kerana kita mempunyai ramai individu yang mahu menyumbang dan memikul tanggungjawab wakil rakyat.

“Bukan senang untuk menjadi kedua-dua ADUN dan ahli parlimen kerana untuk tempoh persidangannya, ahli parlimen perlu berada di Kuala Lumpur selama empat bulan. Kemudian masa yang sama jika memegang jawatan ADUN juga perlu menghadiri mesyuarat di sini. Jadi untuk SUPP kita mempunyai ramai bakat muda dan kita tidak kekurangan calon yang berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun ke-63 SUPP di ibu pejabat SUPP dekat sini pada Sabtu.

Timbalan Premier Sarawak itu turut menegaskan bahawa SUPP komited memastikan tanggungjawab setiap wakil rakyat dapat dilaksana secara maksimum.

Kui Hian sebelum ini telah mengesahkan SUPP akan bertanding di tujuh kerusi tradisinya termasuk mempertahan kerusi Serian yang kini disandang Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Manakala enam lagi calon melibatkan kerusi Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Sarikei, Miri dan Lanang akan dimuktamadkan dalam masa beberapa minggu.

Dalam pada itu katanya jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah bersedia untuk menghadapi PRU15 berdasarkan momentum kejayaan Pilihan Raya Negeri ke-12 pada Disember lalu.

“Melihat kepada ketidakstabilan dan perpecahan politik di semenanjung, saya jangka PRU akan diadakan pada tahun ini.

“Sarawak perlu bersiap sedia kerana ini melibatkan masa depan Sarawak di mana pecutan terakhir untuk mendapatkan semula hak MA63 sangat bergantung pada PRU15 ini dan kita mesti agresif mengejar matlamat serta perjuangan kita sementara kita bersatu dan momentum masih ada,” tambahnya.

Untuk makluman ADUN yang akan mengetuai Jawatankuasa Perhubungan Parlimen ialah Kui Hian sendiri bagi kerusi Bandar Kuching, Lo Khere Chiang (Stampin), Micheal Tiang (Sibu), Datuk Seri Huang Tiong Sii (Sarikei), Datuk Seri Lee Kim Shin (Miri) dan Joseph Chieng (Lanang).