KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg meletakkan keyakinan yang tinggi kepada SUPP untuk memenangi kesemua tujuh kerusi tradisi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Justeru bagi merealisasikan hasrat itu, beliau tidak mahu berlakunya situasi tikam belakang atau sabotaj di dalam kepimpinan dan antara penyokong parti di peringkat akar umbi.

Tegas Premier Sarawak itu, setiap individu yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan perlu mendapat sokongan penuh rakyat dan mengenepikan kepentingan peribadi demi melaksanakan perkhidmatan yang terbaik.

“SUPP, PBB, PRS dan PDP adalah satu bentuk kesatuan yang unggul di dalam pentadbiran di Sarawak, kita akan mempertahankan Sarawak dari setiap sudut jangan sesekali ada sabotaj di kalangan parti, ketepikan kepentingan peribadi, dahulukan rakyat.

“Terutama menjelang musim pilihan raya yang semakin dekat, jangan memperjudikan nasib parti, semarakan semangat perpaduan dan adakan perjumpaan dikalangan ahli, dalam waktu perperangan (pilihan raya) kelak, saya berharap SUPP akan menang di semua kerusi yang mereka tandingi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Persidangan Perwakilan SUPP ke-25 di Dewan Sa’ati Ibu Pejabat SUPP di sini pada Sabtu.

Tambahnya, pencapaian yang cemerlang SUPP semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 lalu bukti kejayaan parti tertua di Sarawak itu kembali mendapatkan keyakinan rakyat khasnya komuniti Cina di negeri itu.

“Pilihan raya yang lalu SUPP berjaya sapu rata semua kerusi di Miri iaitu di Senadin, Piasau, dan Pujut, kemudian berjaya menguasai kembali Bintulu terutama di kerusi Tanjung Batu termasuklah beberapa kerusi kuat pembangkang di Sibu.

“Ini buktinya SUPP telah berjaya mengembalikan kepercayaan komuniti Cina di Sarawak, kita telah laksanakan polisi yang inklusif buat mereka dan mengangkat isu pendidikan terutama mewujudkan pelan pembangunan jangka panjang di kawasan Bukit Assek, Sibu agar kita bangunkan semua sekali  sebagai sebuah pusat bandar yang baharu,” katanya.

SUPP pada PRN12 mempersembahkan pencapaian yang terbaik sejak tahun 1959 dengan memenangi 13 daripada 18 kerusi yang dipertandingkan.

Kemenangan parti yang tertua di Sarawak itu sekaligus menutup rekod kekalahan teruk SUPP pada PRN 2016 dengan kekalahan di 13 kerusi daripada 19 kerusi yang dipertandingkan.