Skip to main content

Dunia

Suntikan maut gagal ragut nyawa Christa Pike, apa seterusnya?

Peguam Pike kini memohon hukuman matinya diringankan dan sedang meneliti pilihan undang-undang lain. - Foto fail/REUTERS
Peguam Pike kini memohon hukuman matinya diringankan dan sedang meneliti pilihan undang-undang lain. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

NASHVILLE: Tennessee menghentikan semua pelaksanaan hukuman mati bagi baki tahun ini selepas banduan hukuman mati, Christa Pike, terselamat daripada dua suntikan maut dan kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Pike, 50, yang dijatuhi hukuman mati pada 1996 kerana membunuh Colleen Slemmer, diberikan dua dos pentobarbital mengikut protokol negeri pada Rabu.

Namun, menurut peguamnya, suntikan itu gagal menghentikan degupan jantungnya dan dia kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan.

Jabatan Pemulihan Tennessee mempertahankan prosedur yang digunakan dan menegaskan pihaknya mematuhi protokol sedia ada.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum menjelaskan punca sebenar kegagalan suntikan maut itu atau sama ada percubaan baharu akan dilakukan.

Gabenor Tennessee, Bill Lee, telah mengarahkan siasatan bebas bagi mengenal pasti apa yang berlaku, sambil menegaskan rakyat berhak mengetahui punca insiden berkenaan.

Peguam Pike kini memohon hukuman matinya diringankan dan sedang meneliti pilihan undang-undang lain.

Mereka juga memfailkan permohonan bagi menangguhkan sebarang percubaan hukuman mati pada masa depan.

Pelaksanaan hukuman mati seterusnya di Tennessee, melibatkan banduan Gary Sutton yang dijadualkan pada Disember, turut terjejas berikutan arahan penangguhan itu.

Kes Pike turut mencetuskan semula perdebatan mengenai penggunaan suntikan maut di Amerika Syarikat.

Pengkritik hukuman mati mempersoalkan risiko penderitaan yang dialami banduan apabila prosedur pelaksanaan gagal, manakala penyokong hukuman mati menggesa kaedah lain dipertimbangkan.

Ini bukan kali pertama Tennessee berdepan masalah dalam pelaksanaan hukuman mati.

Pada Mei lalu, hukuman mati terhadap seorang lagi banduan ditangguhkan selepas petugas gagal menemui salur darah untuk suntikan maut.

 

 

Must Watch Video

Advertisement