MUAR: Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Nov 19 depan. 

Pencalonannya diumumkan Timbalan Presiden MUDA yang juga Pengarah Pilihan Raya parti berkenaan, Amira Aisya Abd Aziz di sebuah hotel di Muar, Johor, pada Rabu malam.

Presiden MUDA itu bakal berdepan calon Barisan Nasional (BN), Helmy Abd Latif dan Perikatan Nasional, (Abdullah Husin).

Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar ketika itu, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (Pas) dengan majoriti 6,953 undi.
 

MUDA, pada minggu lalu  mengumumkan tiga calon yang akan bertanding di kubu kuat BN, iaitu Danial Abd Majeed (Kepala Batas, Pulau Pinang), Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang, Selangor) dan Lim Wei Jiet (Tanjung Piai, Johor).

Sementara itu, dalam ucapannya Syed Saddiq memohon 'kontrak' bersama orang Muar diperbaharui dan pengundi memberinya peluang untuk mempertahankan kerusi itu.

"Alhamdulillah, perbaharui kontrak bersama orang Muar. Pada tahun 2022 lagi sekali saya kembali kepada orang Muar, tolong beri peluang pada saya untuk pertahankan Muar.

"Perjuangkan rakyat, rakyat bukan saja menilai track record ahli Parlimen tetapi juga menilai ciri-ciri mereka. Lawan atau lari dari pentas politik.

"Kalaulah saya masuk politik kerana duit, saya tidak berada di sini, biasiswa ditawar setengah juta, malah gaji ketika berkhidmat sebagai menteri juga lumayan.

"Ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya menteri pertama, yang isytihar aset, mengarahkan open tender tanpa campur tangan menteri," katanya.