KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dilantik menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Perkara tersebut dimaklumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang di sini, hari ini.
Advertisement
Menurut Muhyiddin, pelantikan berkenaan dipersetujui secara sebulat suara oleh semua Ahli MPT yang hadir, selaras dengan keperluan memperkukuh kepimpinan dan kelancaran pentadbiran parti.
Semalam, media melaporkan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden dan parti berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Lembaga Disiplin parti selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Turut dipecat ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ketua Bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassundi Hamzah serta Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, berkuat kuasa semalam.