Skip to main content

Politik

Rafizi seolah-olah alami apa Allahyarham Khalid rasai - Faekah

Sumber: Facebook
Faekah (foto) berkata walaupun Rafizi tidak mengakui sebarang kesilapan, situasi semasa dilihat seakan-akan menggambarkan beliau kini merasai apa yang pernah dilalui Allahyarham Khalid apabila diketepikan oleh parti pada 2014. -Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin, menyifatkan Datuk Seri Rafizi Ramli kini seolah-olah 'sedang mendapat kifarah' susulan peranannya sebagai arkitek strategi ‘Langkah Kajang’ lebih sedekad lalu.

Menurut beliau, walaupun Rafizi tidak mengakui sebarang kesilapan, situasi semasa dilihat seakan-akan menggambarkan beliau kini merasai apa yang pernah dilalui Allahyarham Khalid apabila diketepikan oleh parti pada 2014.

Advertisement

"Langkah Kajang memang jijik tetapi ia tidak akan berlaku tanpa restu pucuk pimpinan serta jika kepimpinan bersifat adil dan jujur.

"Sebagai arkitek strategi itu, Rafizi mungkin sedang menerima kesan daripada tindakannya," katanya menerusi hantaran di Facebook sebagai menjawab pertanyaan media.

 

Mengulas lanjut, Faekah berkata secara peribadi beliau tidak lagi meletakkan penghormatan atau harapan tinggi terhadap Rafizi susulan episod berkenaan.

Beliau juga menyifatkannya sebagai titik tolak kepada pengkhianatan terhadap prinsip keadilan yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak penubuhannya pada 4 April 1999.

Menurutnya, peristiwa itu turut tercatat sebagai antara detik paling hitam dalam landskap politik dan pentadbiran negeri Selangor.

Mengimbas pemilihan parti pada 2010, Faekah mendakwa Allahyarham Khalid pernah diarahkan dan ditekan untuk menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden bagi memberi laluan kepada calon pilihan ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya sebut di sini hanya untuk menunjukkan percaturan dan campur tangan secara jijik memang diamalkan di dalam PKR dan bukan suatu yang asing.

"Kifarah tidak berlaku kepada sesetengah orang sahaja, siapa tahu, mungkin selepas ini Nurul Izzah atau mungkin Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sendiri.

"Cuma bezanya Allahyarham Khalid masih boleh menunjukkan serta mempertahankan kejayaan program dan polisi yang dilakukannya ketika mentadbir Selangor sebagai Menteri Besar," ujarnya lagi.

Mengulas dakwaan terhadap prestasi Rafizi, Faekah mempersoalkan asas yang digunakan untuk melabel beliau sebagai menteri gagal, sambil menegaskan perkara itu perlu dilihat dalam konteks kepimpinan kerajaan secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Faekah berkata masa depan Rafizi tidak semestinya bergantung kepada PKR, sebaliknya ditentukan oleh langkah dan pendirian yang akan diambil dalam landskap politik semasa.

"Segalanya bergantung kepada langkah beliau selepas ini, sama ada kekal dengan prinsip atau sebaliknya. Seperti mana kebanyakan rakyat, saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat," katanya.

 

 

Must Watch Video