KUALA LUMPUR: Rakyat kini sudah tahu kelompok yang mempertahankan kuasa dalam kerajaan kini derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, dakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media di Parlimen pada Khamis, beliau sekali lagi menegaskan dengan apa yang berlaku sekarang, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan.

Tegasnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga perlu meletakkan jawatan kerana kesilapan, ingkar kepada Yang di-Pertuan Agong dan mengelirukan Dewan Rakyat.

“Rakyat sudah tahu sekarang bahawa kelompok yang pertahankan kuasa ini derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan takut kepada undi di Parlimen kerana sudah nyata kehilangan majoriti.

“Saya bawakan usul (pelucutan jawatan Perdana Menteri) untuk dibentangkan dan diterima Speaker. Selepas terima ini (usul), terus tangguh sidang.

BACA: Anwar usul Muhyiddin Yassin dilucutkan jawatan sebagai Perdana Menteri

“Mana boleh kita jalankan sidang Parlimen dengan menipu dan tipu helah begini, sampai di peringkat Yang di-Pertuan Agong buat titah pun cuba dipermainkan,” tegasnya.

Tambah Anwar, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menghadap Seri Paduka Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat berkaitan isu tersebut.

“Itu kita lihat perkembangan dalam satu dua hari ini. Kalau perlu, ya, kita mohon menghadap dan kita lihat perkembangan dalam satu dua hari ini,” ujarnya.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan selepas tiga kali ditangguhkan, Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 pada Khamis ditangguhkan sekali lagi dan disambung semula pada Isnin.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon berkata, keputusan itu dibuat selepas dua lagi kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen selepas ujian saringan RTK AG Saliva dijalankan pada petang Khamis.

Dalam kenyataannya, beliau memaklumkan terdapat dua lagi kes positif COVID-19 dikesan di bangunan Parlimen dan penangguhan dibuat bagi membolehkan semua orang di bangunan itu menjalani saringan COVID-19.