KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan bertemu dengan kepimpinan tinggi MIC di Dewan Netaji, Ibu Pejabat MIC pada Rabu (2 Ogos).

Menurut sumber, pertemuan yang dikatakan akan diadakan di Ibu Pejabat MIC itu dirancang bagi membincangkan tentang ‘layanan kurang mesra’ UMNO terhadap parti itu, khususnya melibatkan agihan kerusi dan gerakan jentera bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.

Difahamkan pertemuan itu juga akan melibatkan Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat (CWC), ketua-ketua MIC dan ahli-ahli jawatan kuasa bahagian MIC.

Media sebelum ini melaporkan parti komponen Barisan Nasional itu tidak berpuas hati dengan cara mereka dilayan dalam enam PRN – Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang – sambil mendakwa seolah-olah MIC sudah tidak berkepentingan lagi.

Beberapa ahli MIC mendakwa, sejak UMNO mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk membentuk Kerajaan Pusat, parti komponen BN itu telah diketepikan dalam pelbagai perkara, khususnya berkaitan politik.

Susulan dari situasi tersebut, kepimpinan tinggi MIC memutuskan untuk tidak mencalonkan mana-mana ahlinya dalam PRN kali ini, biarpun ia mendapat tentangan keras dari akar umbi MIC.

Ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan dilaporkan bertindak keluar dari parti selain melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda MIC Selangor dan Ketua Pemuda MIC cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai (Kuala Selangor), manakala Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, Parthiban Karuppiah, kini sedang menggerakkan kempen menyokong Perikatan Nasional (PN).