KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak segera dan secara profesional tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik untuk menahan pemimpin kanan UMNO bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji (TH), tanpa perlu menunggu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) selesai Sabtu ini.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, tiada sebarang sebab untuk menunggu PAU selesai sekiranya memang sudah ada bukti dan keperluan untuk seseorang itu ditangkap atau disoal bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji.
"Tidak kisahlah dia pemimpin kanan UMNO, individu yang terlibat dengan pengurusan PAU ataupun sesiapa sahaja.
"Undang-undang mesti dilihat sama rata. PAU ialah urusan sebuah parti politik, tetapi Tabung Haji melibatkan kepentingan dan amanah wang rakyat Malaysia yang beragama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, seorang lagi pemimpin kanan UMNO difahamkan bakal dipanggil SPRM minggu hadapan bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji.
Memetik sumber portal berkenaan, pemimpin terbabit yang memegang kedudukan penting dalam UMNO itu diberi masa untuk menyelesaikan urusan PAU yang bermula Rabu sehingga Sabtu ini dan dipercayai akan disiasat berhubung penglibatannya dalam isu yang berkaitan dengan Tabung Haji.
Justeru, Dzul Hilmi berkata, SPRM perlu melakukan tugas mereka tanpa mengambil kira sama ada PAU sedang berlangsung atau tidak jika prosedur memang diperlukan untuk membantu siasatan.
Jelasnya, sebarang penangguhan boleh memberi persepsi seolah-olah ada layanan berbeza kepada pemimpin politik.
Kata beliau lagi, rakyat bukan mahu mendengar perkembangan PAU tetapi perlu tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam isu Tabung Haji selain mahu pihak berkuasa menyiasat dengan telus serta mengheret mereka yang menyeleweng duit rakyat.
"Akhirnya, yang kita mahu ialah keadilan. Kalau seseorang itu tidak bersalah, biarlah siasatan membuktikannya. Tetapi kalau ada bukti yang mengatakan beliau bersalah dan terdapat penyelewengan maka tindakan perlu diambil setegas-tegasnya.
"Jangan kerana dia pemimpin politik, proses undang-undang pula dilihat seperti boleh ditangguhkan," tegasnya.
Pada masa sama katanya, tidak ada sesiapa yang berada lebih tinggi dari undang-undang negara dan jangan ada mana-mana parti politik yang dianggap lebih penting daripada amanah serta kepercayaan yang telah diberi rakyat selama ini.