KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemandu bagi Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan antilompat parti dan had penggal Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin penting parti dalam masa terdekat sebelum ia dibentangkan kepada Parlimen Mac ini.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia untuk berbincang jawapan terhadap persoalan yang diajukan Peguam Negara terhadap dasar-dasar dalam RUU tersebut.

Ketika ini, katanya, ada banyak pendapat yang bercanggah terhadap hampir 20 soalan yang disenaraikan itu, antaranya definisi istilah ‘lompat parti’.

“Kalau saya kena pecat daripada parti adakah saya (dikira) lompat parti? Kalau keluar dari UMNO masuk MCA atau MIC pula bagaimana?

"Calon bebas yang menang kemudian menyertai sesuatu parti, adakah itu dikira lompat parti juga?

“Semua soalan sedemikian belum semuanya terjawab, kerana masih di antara 200 Ahli Parlimen itu pandangannya berlainan, antara tiap-tiap parti itu masih pandangan berlainan.

“Bila kita bawak balik kepada pihak-pihak yang tertentu, ada yang kata ini tak betul, itu tak betul, ada alternatif pula, ada cadangan berlainan, jadi maknanya kita belum lagi kata sepakat berhubung dengan dasar itu sendiri.”

Ia dibawa kembali kepada Kabinet, yang seterusnya mengarahkan supaya jabatannya mengadakan lagi urus tadbir dan pertemuan dengan semua pemimpin parti yang mempunyai kedudukan untuk membuat keputusan bagi pihak parti masing-masing.

Oleh kerana arahan baru diberikan dua minggu lepas, kata Wan Junaidi ketika ini pihaknya sedang dalam proses menetapkan tarikh pertemuan dengan pemimpin parti di seluruh tanah air.

Tonton sesi penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

RUU Antilompat Parti, Had Penggal PM : Jawatankuasa Pemandu akan bertemu pemimpin parti


Agenda AWANI: Memantapkan demokrasi Malaysia