Parti Cinta Sabah (PCS) kekal dengan pendirian untuk bertanding secara sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tanpa menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti di negeri itu dan Semenanjung.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga tidak berpakat atau bergabung dengan mana-mana parti selain akan bertanding sebanyak mana kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memikirkan dan menginginkan PCS namun kami tetap dengan pendirian kami.

"Sebagai Presiden PCS, saya ingin mengulang dan menegaskan sekali lagi dasar perjuangan Parti Cinta Sabah (PCS) untuk pilihan raya Sabah akan datang ... kami tidak berpakat dan bergabung dengan mana-mana parti untuk tujuan pilihan raya negeri.

"Kita akan bertanding sebanyak mana kerusi untuk membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya akan memulakan rundingan berhubung kerusi PRN akan datang dengan beberapa parti tempatan di Sabah termasuk bersama PCS.

Jelas Ahmad Zahid, antara parti lain yang terlibat dalam rundingan terbabit adalah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).