Sambutan Hari Umno Ke-70 yang dijadualkan pada Rabu ditunda kepada Khamis ini, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata ia bagi memberi penghormatan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 11 Mei, diikuti majlis santapan sempena mesyuarat itu pada malamnya.

"Tarikh baharu ini baru sahaja diputuskan sebentar tadi dan penundaan itu telah kita maklumkan kepada semua Umno bahagian dan negeri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tengku Adnan berkata sambutan Hari Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra akan diadakan secara sederhana dengan bacaan Yaasin dan Tahlil bagi mengenang pemimpin terdahulu dan perjuangan Umno, serta anggota parti yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak pada Khamis lepas.

Beliau berkata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak juga memutuskan supaya semua program dan aktiviti sempena ulang tahun Umno dibatalkan sebagai tanda sedih dan berdukacita seluruh anggota parti berikutan tragedi helikopter itu yang mengorbankan kesemua enam penumpang dan juruterbangnya.

Program yang dibatalkan ialah Karnival Himpunan Hari Umno yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka pada 14 Mei, acara Sukan Umno dan Larian Bendera Umno yang kini berlangsung di seluruh negara.

"Selain menghormati anggota keluarga mangsa, pembatalan itu dibuat kerana kami sendiri turut merasai kehilangan dua anggota parti yang sebenarnya pergi ke Sarawak untuk membantu kita dalam pilihan raya negeri," katanya.

Dalam nahas itu, Umno kehilangan Anggota Parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Turut berada di dalam pesawat itu, yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching, ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.