ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan mana-mana individu atau pihak yang menjadi ejen kepada perbalahan dan perpecahan ummah adalah syaitan.

Jelas beliau, cubaan mana-mana pihak dalam memecahkan perpaduan ummah yang disepakati bawah Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) membabitkan tiga parti Melayu, iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tindakan yang tidak wajar dan merugikan.

Menurutnya, perkara itu juga tidak harus dibiarkan berlaku secara berterusan memandangkan ia boleh memberikan kesan yang besar dan merugikan umat Islam itu sendiri.

Sanusi menegaskan kerjasama yang membabitkan Pas menerusi PN dan MN bukan sekadar kerjasama politik semata-mata.

Sebaliknya, menurutnya ia adalah platform untuk mengukuhkan perpaduan umat Islam dan Melayu yang memerlukan kesatuan yang kukuh serta utuh terutama dalam menguasai arena politik tanah air.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha dalam membentuk dan memupuk perpaduan ummah tidak seharusnya melibatkan tiga parti berkenaan sahaja, namun memerlukan penglibatan semua pihak di negara ini termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal media.

"Kita kena berusaha untuk menjayakan perpaduan, siapa-siapa pun, parti apa pun... NGO, wartawan pun kena berusaha kepada perpaduan.

"Janganlah menulis berita yang boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan. Pengamal media sosial pun sama, carilah perkara yang boleh membawa kepada keutuhan umat manusia

"Ejen perpecahan, pergaduhan, perbalahan adalah syaitan, (manakala) ejen perpaduan adalah kerja kita, ejen penyatuan kerja kita," ujarnya.

Sanusi berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Pada Isnin, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa parti itu mahu melihat 'muafakat politik' yang termeterai di bawah PN antara Bersatu, Pas dan UMNO diteruskan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), demi masa depan negara.

Justeru, beliau menasihati pemimpin ketiga-tiga parti itu untuk terus mendukung kerajaan sedia ada sekali gus memberi fokus kepada isu rakyat yang menanggung beban berikutan pandemik COVID-19 dan kurangkan politik dalaman yang mengganggu tumpuan.