KUCHING: Sarawak amat berharap perubahan yang positif di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkekalan serta konsisten ke arah kestabilan ekonomi yang dinamik dan maju.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kerajaan negeri juga amat menghargai sedikit kebebasan yang telah dianugerahkan untuk  Sarawak membuat keputusan sendiri demi mancapai kemajuan di kedua-dua belah pihak.

Mengibaratkan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Bumi Kenyalang itu sebagai Keluarga Sarawak yang kecil di bawah naungan sebuah Keluarga Malaysia yang besar, Abang Jo percaya Persekutuan juga mahu negeri itu berjaya dalam apa jua program pembangunan yang dilaksanakan.

“Namun, sama seperti dalam sebuah keluarga yang besar, pasti akan berlaku perbezaan pendapat dan cara berlainan untuk melaksanakan sesuatu antara Semenanjung dan Sarawak.

“Saya berpendapat keadaan seperti ini tidak menjadi masalah yang besar kalau pandangan dan kaedah yang berlainan ini diselesaikan secara muhibbah dalam suasana kekeluargaan yang mesra,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak 2022 di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini hari ini.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menambah, tidak ada perbezaan yang tidak dapat diselesaikan meskipun negara telah mengalami keadaan politik yang tidak menentu dan mendatangkan impak yang negatif kepada negara.

“Jika dibincang secara ikhlas untuk kepentingan bersama dan menang-menang untuk semua pihak khasnya dalam usaha mengangkat status Sarawak kepada ekonomi yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 atau PCDS 2030, Sarawak telah mengorak langkah ke arah ekonomi yang dicorakkan oleh kemajuan teknologi, kelestarian sumber dan usaha dunia untuk menangani perubahan iklim,” katanya lagi.

Jelajah AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama dan bangsa.

Sepanjang tiga hari jelajah AKM Sarawak yang bermula Jumaat lalu (5 Ogos), pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan.