Gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini menyangkal dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Dalam kenyataan media oleh setiausaha parti-parti yang bekerjasama dalam kerajaan PN, mereka menjelaskan, kenyataan Anwar itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini.

Parti-parti itu turut menyatakan akan kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.

"Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat," jelas kenyataan itu,

Parti yang bekerjasama dalam Kerajaan PN iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Semalaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR).

BACA: Anwar dakwa ada majoriti kukuh

BACA: UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimennya mahu sokong Anwar - Ahmad Zahid

BACA: Istana Negara sahkan majlis menghadap Anwar ditangguh

Terdahulu, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada Rabu, beliau menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Muhyiddin telah jatuh.

Tambah beliau, maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas beliau bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.