POLITIK
"Saudara Rafizi, you are telling lies" - Marzuki

Marzuki (kiri) mendedahkan, rundingan berlangsung dalam suasana yang mesra dan Pengerusi PN, Muhyiddin tidak pernah sekalipun memperkecilkan UMNO. - Gambar Facebook Marzuki Mohamad
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad tampil mendedahkan sepucuk surat yang didakwa sebagai bukti Perikatan Nasional (PN) pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Barisan Nasional (BN) susulan rundingan pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pendedahan itu dibuat bagi menafikan kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa PN tidak mengemukakan sebarang tawaran kepada BN, selain mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya memandang rendah terhadap UMNO.
“Saya menonton video podcast Rafizi yang menyebut PN tidak menawarkan apa-apa kepada BN semasa rundingan pembentukan kerajaan selepas PRU15.
"Malah beliau mendakwa Tan Sri Muhyiddin memandang rendah kepada UMNO. Saudara Rafizi, you are telling lies (anda bercakap bohong),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut Marzuki, beliau sendiri terlibat secara langsung dalam keseluruhan rundingan di antara PN dan BN yang berlangsung di Hotel St Regis pada 23 November 2022.
“Bukan setakat ‘kaki’, malah seluruh tubuh saya berada dalam rundingan tersebut dari awal hingga akhir. Rundingan berlangsung dalam suasana yang mesra dan Muhyiddin tidak pernah sekalipun memperkecilkan UMNO. Malah, yang hadir dalam rundingan itu adalah kawan-kawan beliau dalam BN,” katanya lagi.
Marzuki menjelaskan, dalam rundingan itu, BN datang dengan tawaran untuk memberi sokongan ‘en-bloc’ kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sebagai balasan, PN bersedia menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN, selain beberapa jawatan Kabinet dan kedudukan lain dalam kerajaan berdasarkan keperluan serta komposisi kerusi dimenangi.
Tambahnya, identiti calon Timbalan Perdana Menteri daripada BN tidak ditetapkan, sebaliknya, tertakluk kepada rundingan antara Perdana Menteri dan kepimpinan BN.
Menurut Marzuki lagi, delegasi BN yang diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika itu, meminta agar tawaran tersebut dikemukakan secara bertulis untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam yang sama.
“Selesai rundingan, saya bersama Setiausaha Agung PN ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa yang lain menyusun surat rasmi tawaran yang ditujukan kepada Timbalan Pengerusi BN dan diserahkan secara tangan pada hari yang sama,” jelasnya.
Namun begitu, Marzuki berkata, beliau tidak pasti sama ada surat berkenaan sempat dibentangkan dalam mesyuarat MKT UMNO.
“Saya pulang ke rumah lewat malam itu dan terkejut membaca kenyataan media UMNO yang menyatakan MKT menolak kerjasama dengan PN dan memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH). Saya hanya mampu terdiam dan tidur, sambil mengharapkan esok lebih baik daripada semalam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Marzuki menegaskan, beliau tidak cenderung mendedahkan perincian rundingan politik. Namun, apabila terdapat kenyataan yang didakwa sebagai pembohongan, beliau merasa terpanggil untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Orang boleh dibohongi, tetapi mereka tidak berurusan dengan pembohongan. Jadi, apabila anda bercakap bohong, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bercakap benar,” kata beliau lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami