KUALA SELANGOR: Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menegaskan belum menyertai mana-mana parti politik, namun mengaku hanya menyokong Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, setakat ini beliau masih bergerak bebas selepas lebih setahun meninggalkan UMNO.

"Saya kini boleh menyokong mana-mana parti dan ia adalah hak saya apabila tidak lagi diperlukan oleh UMNO.

"Biarpun tidak menjadi ahli parti, saya menyokong sepenuhnya perjuangan PN demi kemaslahatan kaum Melayu," katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kampung Permatang di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ura-ura dirinya sudah menjadi ahli PN kerana memakai kemeja biru yang mempunyai logo blok pembangkang itu ketika menghadiri Konvensyen PN di Petaling Jaya pada Sabtu.

Noh memberitahu, tindakan memakai kemeja korporat parti pembangkang itu bermula sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di Selangor.

"Bagi saya, ia bukan perkara luar biasa dan selepas dipecat daripada UMNO, saya memang berkempen untuk PN.

"Saya memang menyokong PN yang dianggap sebagai rumah baharu untuk orang Melayu dan boleh menggantikan BN (Barisan Nasional)," ujarnya.

Dalam pada itu, Noh berkata, penolakan pengundi Melayu di Tanjong Karang kepada BN semakin ketara dengan peningkatan lebih 10,000 undi kepada PN pada PRN lalu.

"Pada PRU15 dulu, PN menang hanya 18,000 undi di kerusi Parlimen, namun ketika PRN15 jumlah undi PN di Permatang dan Sungai Burong memperoleh sehingga 28,000 undi,” jelas beliau.

Januari tahun lalu, Noh dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sah dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian