ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui berasa 'takut' dalam mentadbir negeri itu memasuki penggal kedua memandangkan harapan rakyat kepadanya kini terlalu tinggi.

Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu menyatakan akan berusaha bersungguh-sungguh memenuhi aspirasi rakyat di negeri Jelapang Padi itu selaras dengan Pelan Kedah 2035.

Beliau juga menjelaskan bahawa akan bersikap adil dan tidak akan mendiskriminasi mana-mana kaum di negeri itu meskipun majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terutama di blok kerajaan berbangsa Melayu.

"Saya jadi takut juga pasal harapan orang terlalu tinggi, saya takut tak tercapai apa yang mereka hasratkan, tetapi saya berazam bersungguh untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri sedaya upaya.

"Ada 33 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang telah dipilih mewakili PN, daripada pelbagai latar belakang... saya yakin semua ADUN, termasuk saya mempunyai azam yang sama, iaitu memberi khidmat bakti yang sepenuhnya kepada negeri dan rakyat Negeri Kedah Darul Aman," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah bagi penggal ke-15 di Wisma Darul Aman pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa 10 orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dilantik selewat-lewatnya minggu ini.

Terdahulu, ADUN Jeneri itu selesai  mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah bagi penggal ke-15 pagi ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah itu berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Muhammad Sanusi melafazkan sumpah menyandang jawatan berkenaan sekitar jam 10.17 pagi di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pelantikan itu dibuat berlandaskan peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah selepas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu menerima sokongan majoriti daripada ADUN-ADUN di negeri itu.