Saya tidak ada lampu ajaib, tapi akan pastikan projek bekalan air siap ikut jadual - Armizan

Datuk Armizan Mohd Ali (kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat semasa melakukan lawatan ke Loji Rawatan Air Kogopon Papar pada 10 Februari 2023. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbukti lebih berkesan dalam menangani masalah bekalan air yang berlarutan di Sabah berbanding pentadbiran sebelum ini.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata sejak dipilih pada November 2022, fokus utamanya adalah mencari penyelesaian yang praktikal dan mampan terhadap isu air yang kronik selain menjejaskan penduduk di beberapa kawasan di Papar.
Timbalan Setiausaha Agung GRS itu berkata dua projek utama di Papar telah diluluskan dan sedang dilaksanakan iaitu naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon (Fasa 2) daripada 40 juta liter sehari (MLD) kepada 80 MLD, dan naik taraf titik pengambilan air di Kg Kabang daripada sembilan MLD kepada 30 MLD.
Tambahnya, beliau bersama ADUN Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim melakar pelan tindakan jangka pendek dan panjang untuk memastikan masalah air di Papar diatasi dengan segera.
"Secara ringkas isu air di Papar termasuk di seluuruh Sabah perlu ditangani meliputi empat aspek (RTDE). Ia melibatkan Resource; Treatment; Distribution dan Enforcement. Daripada empat aspek itu, isu paling mendesak di Papar adalah treatment (loji rawatan air).
"Dalam sebulan selepas menjadi Ahli Parlimen Papar, saya duduk bersama Jabatan Air Papar dan dilaporkan, Papar dan kawasan sekitarnya memerlukan 93 juta liter air terawat sehari sebaliknya kapasiti loji-loji rawatan air di Papar hanya mampu merawat 63 juta liter sehari.
"Kiraan matematik mudah, setiap hari kita kekurangan kira-kira 30 juta liter air. Kapasiti loji rawatan air sedia ada di Papar hanya mampu memenuhi 65 peritus daripada keperluan harian. Ini isu legasi yang kita warisi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan pelaksanaan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 59.39 peratus setakat 25 Oktober 2025.
Menurutnya, projek berskala besar itu dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2026 dan akan menjadi penyelesaian utama kepada masalah gangguan bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk daerah ini.
Armizan menjelaskan, keprihatinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, projek itu disenaraikan sebagai salah satu keutamaan dalam Mesyuarat Khas Penyelaras Isu Bekalan Air Sabah dan Kelantan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Jun 2023.
"Saya mohon maaf kerana saya tidak ada lampu ajaib untuk membolehkan projek ini siap dalam masa yang singkat.
"Namun komitmen saya adalah untuk memantau secara berkata bagi memastikan projek ini siap mengikut jadual kerana rakyat sudah sekian lama terkesan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


