KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan satu akta serta peraturan-peraturan yang jelas berkenaan pendanaan aktiviti politik dan ia perlu disegerakan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) telah mengeluarkan beberapa syor termasuk berkaitan pendanaan politik.

"Alhamdulillah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerima laporan itu dengan baik, dan ia telahpun dibawa ke Kabinet. Saya lihat ada pergerakan yang positif sekarang.

"Saya telah mungusulkan kepada rakan-rakan dalam Kabinet agar diputuskan dengan segera bagaimana untuk melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan oleh ERC, termasuklah dalam hal pendanaan politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Wan Saiful, sekiranya perkara itu tidak diselesaikan segera, isu yang dikaitkan dengan pendakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta pendanaan awam yang dilakukan beliau mungkin menjadi lebih besar.

"Contohnya, selain daripada kes yang beliau hadapi, bagaimana dengan sumbangan yang Syed Saddiq raih daripada masyarakat untuk kos peguam dan ikat jamin?

"Para penderma sudah pasti ikhlas mahu membantu dan Syed Saddiq pun sudah nyatakan bahawa beliau akan menyediakan laporan audit.

"Tetapi adakah dana tersebut akan dikenakan cukai? Adakah dana itu perlu dilaporkan sebagai pendapatan individu atau pendapatan syarikat, atau pendapatan apa?

"Adakah kos peguam peribadi termasuk sebagai dana politik?" soalnya.

 
Sumber Facebook wansaifulwj

Beliau pada masa sama mengakui gembira kerana kerajaan PN telah mengambil langkah positif dalam memperkenalkan peraturan yang lebih berwibawa berkaitan pendanaan politik.

"Saya pernah dilantik oleh kerajaan menyertai sebuah jawatankuasa berkaitan pendanaan politik semasa era Datuk Seri Najib Razak.

"Tetapi entah apa berlaku kepada laporan yang kami sediakan," katanya.