MALAYSIA
Tauliah penceramah bebas didakwa sebar video seks sudah ditarik balik - Mohd Na'im

Mohd Na'im berkata, masyarakat perlu memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus. - Gambar fail
KUALA KRAI: Tauliah penceramah bebas yang didakwa menyebarkan video seks difahamkan sudah ditarik balik sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Ringkasan AI
- Tauliah penceramah bebas yang didakwa menyebarkan video seks telah ditarik balik sebelum ini, dan Menteri Hal Ehwal Agama menyeru masyarakat agar memberi kepercayaan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara adil.
- Kes disiasat susulan laporan oleh isteri kedua penceramah itu, melibatkan dakwaan penyebaran video seks beberapa wanita termasuk madunya, dan disiasat di bawah tiga akta berkaitan jenayah dan komunikasi.
- Menteri turut mengingatkan agar penceramah disemak kelayakan tauliah sebelum dijemput, serta menyarankan institusi pondok berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi memudahkan bantuan kerajaan.
"Kita perlu berikan kepercayaan kepada pihak polis dan lebih baik kita tunggu siasatan itu dijalankan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mungkin teraniaya," katanya selepas merasmikan Wacana Dakwah Al-Falah Memacu Ummah MADANI bersama Institusi Pondok di Pondok Sungai Durian di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya sedang menyiasat kes penyebaran video seks oleh seorang penceramah bebas susulan laporan diterima daripada seorang wanita yang juga isteri kedua lelaki itu pada 16 Jun lepas.
Wanita itu mendakwa penceramah berkenaan menyebarkan video seks dia dan madunya serta beberapa wanita lain, namun lelaki itu diberikan jaminan polis sementara proses melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Mohd Na'im turut menyeru golongan agamawan di negara ini supaya menggunakan ilmu pengetahuan untuk mendidik dan membawa masyarakat ke jalan yang benar, serta tidak melakukan perkara bertentangan dengan Islam.
"Mana-mana penceramah yang telah diberikan tauliah dan didapati melakukan sesuatu perkara yang boleh mencemarkan institusi agama, sudah tentu pihak berkuasa agama negeri akan menarik semula tauliah berkenaan.
"Saya minta masyarakat sebelum menjemput mana-mana penceramah, semak dahulu dengan jabatan mufti atau jabatan agama negeri untuk pastikan individu itu ada tauliah atau tidak," katanya.
Sementara itu, Mohd Na'im turut menyarankan institusi pondok di negara ini supaya berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi memudahkan mereka menerima bantuan kerajaan termasuk penyelenggaraan bangunan.
"Sebelum mereka ini berdaftar, semua aspek bangunan akan dilihat. Pihak bomba akan melihat dari segi pendawaian elektrik dan sebagainya sebelum memberi kebenaran mendiami bangunan itu.
"Apabila berdaftar, lebih mudah untuk mereka menerima bantuan daripada kerajaan dan kita juga akan tengok dari sudut kurikulum serta silibus supaya ia dapat diselaraskan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami