Datuk Hasni Mohammad sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan berkata kini masanya untuk mula mentadbir dan tidak lagi bermain politik.

“Saya percaya sekarang adalah masa untuk kita semua memberikan sepenuh perhatian dan tenaga untuk memulihkan keadaan negeri dan memastikan Johor menerima yang terbaik.

“Selaku bangsa Johor, saya akan menjadi pemimpin untuk semua dan menyeru semua pihak untuk bersama berikhtiar dan bekerja bersama saya untuk memberikan yang terbaik kepada Johor dan rakyatnya,” katanya.

Katanya pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu merupakan satu keperluan dan ia dilakukan mengikut proses yang menyantuni lunas undang-undang serta kuasa mutlak Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Dengan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan, maka ia telah turut memberi kesan teruk sehinggakan Kerajaan Negeri Johor juga tumbang dan terbubar,” katanya.



Menurut Hasni, Sultan Johor telah menggunakan kuasa dan budi bicaranya di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk melantik beliau sebagai Menteri Besar yang baharu.

Rabu lalu, Sultan Johor bertemu dengan 54 ADUN Johor bagi mengetahui siapa pilihan mereka ekoran keluarnya Bersatu daripada Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu, sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.

Ini adalah pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei 2018.

Mengulas lanjut, Hasni menambah barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu akan dilantik dalam tempoh seminggu selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussein.

"Komposisi barisan EXCO Johor yang baharu akan mencerminkan komposisi rakyat Johor.

"Kita akan pertimbang dan bahagikan dengan adil walaupun Pas hanya ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor.

"Buat masa ini gabungan kerajaan Johor akan dikenali sebagai Gabungan Baharu buat sementara waktu, " katanya.

Senarai EXCO yang lengkap sebelum memohon mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon perkenan baginda dalam tempoh terdekat.