Selangor bukan sahaja memerlukan seorang menteri besar baru tetapi seorang 'ibu' yang dapat menjaga negeri dengan penuh kasih sayang.

Perwakilan Selangor, Abu Talib Bujang berkata, kerana itu pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor dilihat bertepatan dan membantu dari pelbagai aspek termasuk pembangunan negeri sendiri.

"Selangor memerlukan seorang ibu, sebagai contoh, kita tengok kepentingan ibu jari, walau apa pun terjadi ia tetap menyokong jari-jari lain dalam setiap kerja.

"Kita andaikan jari kelengkeng sebagai akar umbi, dan jari-jari lain sentiasa membantu ibu jari," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres PKR ke 10 di Stadium Malawati di sini.

Wan Azizah di dalam ucapannya turut menyentuh beberapa isu melibatkan hal Selangor termasuk menekankan keperluan peningkatan keupayaan pendidikan di UNISEL, KUIS dan pusat latihan di bawah kelolaan negeri.

Jelas Abu Talib, kegagalan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semakin jelas apabila masuk penggal kedua penatdbirannya.

"Kita perlu beri maklumat betul kepada semua agar rakyat tidak salah anggap. Apabila masuk penggal kedua, Abdul Khalid kata ada banyak duit tetapi apa guna jika tidak dibelanjakan kepada rakyat.

"Tengok sahaja Stadium Malawati tempat kita berkongres ini, air pun tidak ada, tandas gelap dan tidak terjaga," ujarnya.

Dalam pada itu, perwakilan Kelantan, Profesor Saharun Ibrahim menjelaskan, PKR patut diberi peluang meletakkan calon untuk membuktikan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

Saharun turut mengandaikan kemenangan sebenarnya sudah pasti milik PKR sebelum ini jika mendapat sokongan semua parti di dalam Pakatan Rakyat sendiri.

"Boleh saya katakan bahawa kita tidak menang kerana ada kesilapan teknikal dengan parti sahabat, apa
yang kita rancang rupanya tidak berjalan sebagaimana yang dirancang.

"Ibarat kita pungut durian, saya ingat kita dah pungut durian cukup, saya simpan dalam bilik, saya kira buah
durian dan dapati durian yang saya kutip lebih banyak daripada buah durian pihak sana.

"Tetapi apabila Pilihan Raya Umum (PRU), kita mendapat durian yang kurang, saya buka bilik dan lihat
rupanya lantai bilik tempat durian sudah dipecahkan oleh orang kita sendiri," ujarnya sinis.

Sementara itu, perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata, kepimpinan tertinggi parti harus melihat 'dendam' yang masih ada di kalangan perwakilan walaupun selepas pemilihan parti.

"Budaya berpuak-puak ini harus dikikis dan kembali rapatkan saf demi keutuhan parti sendiri.

"Lupakan apa yang lepas, apabila pemilihan sudah habis, kita perlu kembali bersatu. Tiada lagi isu saya orang A, saya orang B," jelasnya.

Dalam pada itu, perwakilan negeri-negeri lain umumnya memberi sokongan kepada Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor selain melihat krisis negeri itu harus diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.