Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak pernah berubah mahupun bertaubat setelah kegagalan beliau mentadbir negeri itu pada 2009.

"Saya tidak terkejut dengan perkataan-perkataan yang keluar daripada kalam beliau (Nizar) kerana rupanya beliau belum pernah berubah dan belum bertaubat dengan apa yang beliau alami selama ini," kata Ahmad Zahid dalam sidang media pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Ulu Kenas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Mohammad Nizar yang menyifatkan kepimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah merampas negeri itu daripada pentadbirannya, sekali gus tidak menghormati hak rakyat Perak yang telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih di atas kecaman Mohammad Nizar tersebut dan pada masa sama berharap semoga taubat beliau diterima Tuhan.

"Saya ucapkan syabas dan saya syukur kepada Allah SWT kerana beliau berkata demikian.

"Mudah-mudahan taubat beliau segera diterima oleh Allah SWT," kata Ahmad Zahid.

Dalam ceramah umum Parti Amanah Negara (Amanah) semalam, Mohammad Nizar berkata ada hikmah di sebalik Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

"Di sinilah buminya yang mana kedua-dua makhluk ini datang merampas kerajaan Pakatan yang saya pimpin ketika itu. Siapa makhluk itu? Tak lain tak bukan Najib dan Zahid.

"Kebiadapan Najib dan Zahid merampas kerajaan Perak ini di bumi Kuala Kangsar, maka Allah jadikan di bumi ini juga pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

"(Ini) supaya orang Kuala Kangsar mengajar mereka kerana kamu kurang ajar kepada pilihan rakyat, kamu berlaku jahat, zalim kepada rakyat Perak," katanya.