JAKARTA: Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda akan menggembleng pemimpin muda serantau dalam perbincangan meja bulat yang bakal diadakan di Kuala Lumpur untuk membahaskan penglibatan di badan legislatif, pentadbiran awam dan isu golongan muda.

Pemimpin muda dari negara, termasuk Singapura dan Thailand akan dijemput untuk bertukar idea bagi mewujudkan kesepakatan dan pendirian yang jelas mengenai masa depan mereka selepas pilihan raya.

Dalam satu temu bual, beliau berkata antara agenda ialah ketetapan peratusan perwakilan untuk memperkasa kepimpinan muda dalam badan legislatif, selari dengan sasaran 30 peratus perwakilan wanita seperti yang mahu dicapai di Malaysia.

"Perbincangan dengan pemimpin muda di Indonesia baru bermula. Kami akan ke Singapura tidak lama lagi untuk mengembangkan proses ini," kata Mohd Hasbie, yang dilantik sebagai Senator pada Mac 2023.

Beliau menjelaskan, tiada garis panduan khusus mengenai jumlah perwakilan pemimpin muda dalam badan legislatif di Malaysia dan keputusan itu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti ketika ini.

"Bagaimanapun ada sesetengah parti yang langsung tidak memberi peluang kepada pemimpin muda, walaupun hal ini bagus untuk manfaat jangka panjang kepada kelangsungan kepimpinan parti," jelasnya.

Selain itu, perbincangan meja bulat turut akan membincangkan 'peremajaan' pentadbiran awam dengan melantik golongan muda di pengurusan tertinggi kerajaan pusat, negeri dan kerajaan tempatan.

Beliau, yang berusia 37 tahun, membayangkan golongan muda yang berkebolehan dan berdedikasi perlu diberi peluang memimpin organisasi tanpa menunggu tahun akhir sebelum pencen.

"Sekiranya bersara awal, mereka mungkin boleh terlibat secara aktif dalam NGO, parti politik dan dunia perniagaan berbekalkan pengalaman dan pengetahuan," kata Mohd Hasbie.

Mohd Hasbie dan delegasi melawat Jakarta baru-baru ini untuk menilai proses pilihan raya dan sistem demokrasi selain bertemu wakil pemimpin muda dalam kalangan parti-parti politik Indonesia.

Beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin di kedutaan dan berinteraksi dengan pelajar Malaysia.

-- BERNAMA