KUALA LUMPUR: Setiap kementerian harus menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan wajib dipaparkan kepada khalayak umum supaya ia dapat dinilai dan dipantau rakyat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Rais Hussin berpendapat bahawa kerajaan perlu telus dengan setiap perancangan mereka dan bertanggungjawab atas setiap kejayaan mahupun kegagalan masing-masing.

“Saya berharap sungguh dalam laman web setiap kementerian, jangan letak gambar menteri sahaja, letak KPI juga - apakah pencapaian mereka bersesuaian mengikut tempoh masa yang ditetapkan - perlu ada dan perlu dipantau.

“Kita perlu beranjak daripada bentuk pentadbiran yang terdahulu dan ia mesti berlaku,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.

Beliau mengambil contoh New Zealand dan negara-negara Skandinavia yang maju dengan urus tadbirnya di mana mereka menyatakan apa yang mahu dicapai dan berani meletakkan jawatan sekiranya gagal memenuhi apa yang telah ditetapkan.

Maka tegasnya, budaya lama di mana menteri rasa besar dengan kedudukannya perlu ditinggalkan dan mereka seharusnya sedar bahawa peranan sebenar yang dipegang adalah pekerja kepada rakyat.

Beliau mengakui Kabinet baharu yang dibentuk Perdana Menteri tidak seperti yang dimahukan, namun diharapkan agar kekurangan yang ada dapat diatasi dengan kelebihan yang dimiliki untuk bersama membawa Malaysia ke arah yang betul.

KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023

“Ingat, (gelaran YB) ini adalah ‘Yang Berkhidmat’ bukan ‘Yang Berhormat’, anda dibayar oleh rakyat untuk menjalankan tugas anda.

“Saya berharap juga menteri-menteri ini tidak tengok kepada kementeriannya sahaja, atau balik buat kenduri kesyukuran, tapi perlu pendekatan menyeluruh.”


Setiap kementerian wajib papar KPI masing-masing - Rais Hussin