KUALA LUMPUR: Skuad terjun lelaki negara dituntut memanfaatkan latihan pusat di Sichuan, China dengan menguasai tahap kesukaran terjunan baharu bagi memberi saingan sengit pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China September ini.

Penolong Jurulatih Kebangsaan Datuk Leong Mun Yee bagaimanapun berkata ia bukanlah tugas mudah buat kesemua tujuh penerjun lelaki yang akan menggalas cabaran negara di China kerana mereka hanya mempunyai masa kira-kira 40 hari untuk 'menyerap' rutin baharu itu.

"Tahap kesukaran terjunan skuad wanita adalah standard sebab pasukan China juga sama seperti kita, jadi pada latihan pusat kali ini kita harap skuad lelaki negara mampu meningkatkan tahap kesukaran terjunan mereka.

"(Mereka belajar) terjunan baharu yang boleh digunakan pada temasya itu, namun perlu dilihat tahap konsistensi terutamanya kerana mereka baru sahaja tiba di Sichuan Ahad lepas (20 Ogos) bersama dua penerjun wanita. Tiga lagi atlet wanita akan sertai mereka minggu hadapan," katanya kepada Bernama.

Pemenang dua pingat gangsa di Kejohanan Akuatik Dunia itu memaklumkan barisan kejurulatihan akan menilai prestasi penerjun lelaki terlebih dahulu sekiranya mereka layak diberi 'lampu hijau' untuk mengaplikasikan rutin baharu pada temasya berprestij itu.

Mun Yee bagaimanapun mahu anak buahnya untuk terus mempamerkan semangat juang tinggi apabila menyifatkan sukan itu bukanlah acara lubuk emas pada temasya empat tahun sekali itu dengan kehadiran kuasa besar China yang sering mendominasi acara terjun.

Beliau berkata pihaknya mempunyai sasaran realistik bagi penerjun negara yang akan mewakili Malaysia, walaupun temasya sukan di Hangzhou itu tidak menawarkan tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sebenarnya setiap kejohanan yang besar, kita kena jalani latihan di China sebab lebih tertumpu dan fasiliti bagus.

"Sukan Asia bukan lubuk emas sebab mahu menewaskan China agak susah, namun kita ada sasar beberapa pingat tetapi bukan emas. Pengumuman pingat ini biarlah mereka yang terlibat umumkan nanti," ujarnya.

Skuad lelaki dibarisi Ooi Tze Liang, Bertrand Rhodict Lises, Enrique Maccartney Harold, Gabriel Gilbert Daim, Jellson Jabillin, Hanis Nazirul Jaya Surya dan Muhammad Syafiq Puteh.

Sementara Datuk Pandelela Rinong, Kimberly Bong Qian, Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Ong Ker Ying bagi acara wanita.

Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt ini.

-- BERNAMA