KUALA LUMPUR : Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) mendesak agar pelaksanaan Akta Pendanaan Politik disegerakan bagi memastikan tiada lagi individu menjadi mangsa kezaliman politik.

Dalam masa sama, Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun menegaskan, Kerajaan sepatutnya tidak bersikap selektif dan menyenaraikan yayasan yang dikecualikan cukai bagi tempoh 2018 hingga 2020. 

“Jadi saya harap kita serahkan (kes pendakwaan) kepada peguam-peguam kita yang bijaksana yang akan membela kes ini di mahkamah. Kita harap Yang Berhormat (YB) yang ada, YB Mas Ermieyati, YB Datuk Seri Ronald Kiandee, usulkan Akta Pendanaan Politik ini disegerakan, kalau tidak ramai lagi mangsa yang menjadi kezaliman ini.

“Saya juga minta disenaraikan yayasan-yayasan dikecualikan cukai dari tahun 2018 hingga 2020, Kita nak tengok mana yang dikecualikan cukai, jangan hanya memilih satu pihak sahaja,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kerajaan akan merujuk Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan diwujudkan tidak lama lagi. 

[TERKINI] Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan


Dalam pada itu, Rina berkata, Akta Pendanaan Politik diharap akan memberi keterangan yang jelas mengenai isu sumbangan politik kepada mana-mana parti.

“Dimaklumkan, (Presiden) terima duit dari penyumbang. Kita ada peguam-peguam kita di sini. Yang jelas, apabila Tan Sri Muhyiddin menerima (sumbangan) sebagai Presiden, takkan orang nak menyumbang ini dia jumpa yang lain-lain, dia jumlah Presiden sebagai ketua sebuah parti.

“(Sumbangan) itu dimasukkan ke dalam akaun Bersatu, bukan akaun individu. Ini juga dianggap di Malaysia, ada undang-undang berkaitan pendanaan parti politik. Semua kenal, beliau (penyumbang) ini merupakan ahli perniagaan Bumiputera yang berjaya, bukan jutawan, tetapi billionaire. Melayu nak bantu parti Melayu. Banyak jasanya,” ujarnya lagi.

Srikandi Bersatu juga yakin parti itu akan menang dalam kes pendakwaan di mahkamah dan sokongan tidak berbelah bahagi akan sentiasa diberikan kepada pemimpin utama Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.