KUCHING: Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dipilih sebulat suara sebagai Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang baharu, umum sekretariat pemilihan parti tersebut pada Sabtu.

Dr Rundi yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, mengisi jawatan berkenaan untuk kuota sayap Pesaka, menggantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Datuk Seri Michael Manyin Jawong yang mengumumkan persaraannya daripada politik.

Tempat Dr Rundi sebelum ini, sebagai Naib Presiden, diambil alih ADUN Layar yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Gerald Rentap Jabu.

Pengumuman mengenainya dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Konvensyen PBB 2022, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dalam satu sidang media yang dipengerusi Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako.

Dalam sidang media yang sama, Awang Bemee turut mengumumkan keputusan sebulat suara seluruh cawangan untuk mengekalkan Datuk Seri Fatimah Abdullah sebagai Ketua Pergerakan Wanita, manakala Adun Serembu, Miro Simuh kini mengetuai Pergerakan Pemuda.

“Mereka secara automatik akan memegang peranan sebagai Naib Presiden,” tambahnya lagi.

Hanya jawatan Majlis Tertinggi sayap Bumiputera katanya, akan menyaksikan pertandingan apabila 22 calon akan berentap untuk berebut 16 kerusi yang diperuntukkan.

Senarai calon yang menawarkan diri adalah seperti berikut; Mohammad Razi Sitam, Dr. Hazland Abang Hipni; Mahmud Ibrahim, Datuk Abdullah Saidol, Syed Hamzah Wan Hamid Edruce, Razaili Gapor, Fazzrudin Abdul Rahman, Haidar Khan Asghar Khan, Mohamed Kamaluddin Mohamad Effendie, Jay Keram, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa Mohamad Duri, Safiee Ahmad, Datuk Awang Daud Awang Putera, Pandi Suhaili, Yusuf Abdul Wahab, Mohamad Sardon Zainal, Zainulabidin Ismail, Awla Dris,  Aidel Lariwoo, Datuk  Dr. Juanda Jaya dan Paul Druce

“Ini berbeza dengan jawatan Majlis Tertinggi sayap Pesaka, apabila menyaksikan kesemua calon menang tanpa bertanding untuk 14 jawatan, setelah 10 calon lain membuat keputusan untuk menarik balik pencalonan.

Keputusan yang sama tambahnya, turut berlaku dalam saingan di peringkat Pergerakan Pemuda dan Wanita, apabila tiada pertandingan akan berlaku, setelah proses konsensus berlaku.

Astro Awani pada Jumaat melaporkan semua jawatan dalam PBB tidak dipertandingkan, kecuali jawatan Majlis Tertinggi.


BACA: PBB: Jawatan utama tidak ditandingi, kecuali ahli MT