Umno masih parti terbesar di Parlimen dan mendapat kepercayaan sebahagian besar orang Melayu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Umno jauh lebih dominan, kuat dan berpengaruh daripada Bersatu walaupun sokongan terhadapnya semakin susut.

“Cercalah. Perlilah. Katakanlah apa jua, insya-ALLAH kami akan terus menghidupkan Umno. Kerana bagi kami, Umno ini bukan sekadar sebuah parti.

“Ia adalah gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu. Ia adalah sebuah institusi politik Melayu nan satu-satunya. Apatah lagi pada orang Johor seperti saya. Umno, bagi orang Melayu Johor, sudah menjadi sebahagian daripada nyawanya.

"Kerana itu, ia akan kami pertahan, kami rawat dan kami pulihkan. Dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas,” katanya dalam warkah kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sebahagian besar ahli Umno sangat mengerti isyarat yang telah rakyat di negara ini, berikan pada pilihan raya umum lalu.

“Kami bukan orang yang tidak boleh berfikir. Tetapi, masakan kami hanya akan pasrah dan berpeluk tubuh, membiarkan Umno terhukum sedemikian dan terus luput dari persada politik Malaysia.

“Insya-ALLAH, dengan semangat ini, kami akan pastikan Umno tidak akan musnah. Umno ini tidak akan kami tinggalkan, kami cerca dan kami buang seperti yang Tan Sri lakukan kepadanya.

"Kami sedar Umno punya kekurangan yang mesti dipulihkan. Dan kami akan memulihkannya,” katanya.

Warkah tersebut sebagai memberi maklumbalas kepada kenyataan Muhyiddin khas bersama Sinar Harian dan Malaysiakini di kediamannya di Bukit Damansara, di sini, baru-baru ini.