PUTRAJAYA:Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai hak untuk mengemukakan sebarang usul di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai Ahli Parlimen yang berpengalaman, wakil rakyat seharusnya faham peraturan yang ditetapkan di dalam Dewan Rakyat.

"Pertama Tengku Razaleigh mempunyai hak sebagai Ahli Parlimen untuk mengemukakan apa-apa sahaja usul.

"Pada masa yang sama, Speaker Dewan Rakyat juga mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan tugas beliau mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen yang agak lama macam saya, saya sudah faham dan tak akan tanya sesuatu yang saya sudah tahu jawapannya," katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pengumuman Khas Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di Menara Sri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini.


Pada Rabu, sepucuk surat yang ditulis oleh Tengku Razaleigh atau Ku Li yang menggesa speaker Dewan Rakyat membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibahaskan, didedahkan.

Pendedahan surat Tengku Razaleigh itu dibuat sehari selepas Ahli Parlimen Gua Musang itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. 




Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan bahawa UMNO kini berpecah dua dengan satu kem menyokong Ku Li sebagai calon Perdana Menteri, Annuar bagaimanapun enggan mengulas perkara tersebut.

Jelas Annuar, apa yang tersebar itu hanyalah sekadar 'spekulasi' semata-mata.

Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa parti Melayu terbesar itu kini berpecah dua dengan Ku Li menjadi penentang kepada gerakan yang digerakkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata sumber, gerakan diketuai oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin berpengaruh UMNO seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dang Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Sumber tersebut turut mendakwa sekurang-kurangnya 24 daripada 39 Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada Ku Li sebagai calon Perdana Menteri.

BACA: Gerakan Ku Li raih lebih majoriti, pinggir Anwar, 'UMNO' bermasalah?