Skip to main content

Politik

Tahanan rumah Najib: DAP putus pendirian esok - Loke

CEC DAP
Loke berkata parti itu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)  DAP akan bermesyuarat esok untuk memutuskan pendirian serta tindakan susulan berhubung keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa sama parti itu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah.

“Sehubungan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok untuk membincang dan memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Loke menegaskan DAP kekal dengan pendiriannya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk tuntutan terhadap keadilan dan akauntabiliti serta supaya mereka yang bertanggungjawab melalui proses undang-undang yang bebas dan adil.

Menurutnya, kesan kewangan berkaitan 1MDB juga masih ditanggung negara, dengan merujuk kenyataan Kementerian Kewangan pada 13 September lalu yang menyatakan keseluruhan obligasi ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion.

Loke turut mempertahankan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang merupakan anggota Lembaga Pengampunan, dengan menyatakan pandangan beliau ketika menjalankan tanggungjawab itu selaras dengan prinsip perjuangan DAP.

“Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau, pandangan tersebut disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara,” katanya lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara hari ini.

Najib turut diwajibkan mematuhi syarat ditetapkan, dengan pengampunan bersyarat itu boleh terbatal sekiranya mana-mana syarat berkenaan tidak dipatuhi.
 

Must Watch Video

Advertisement