PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan, sememangnya wujud akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurut beliau, pendedahan itu dilakukannya sebagai saksi hidup berikutan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mendedahkannya kepada akar umbi.

Bahkan, Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga mendakwa, beliau turut digesa menandatangani SD tersebut sehingga timbulnya isu jajaran baharu ketika itu.

"Saya saksi hidup. Ada diminta tandatangan surat sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Kata No DAP, No Anwar! Tetapi memang ada SD sokongan Anwar (dihantar) pada Istana (Negara).

"Saya diminta tandatangan. Mula-mula saya tidak mahu, bila sudah sampai saat hendak masam muka dengan saya, saya tandatangan juga.

"Lebih menyedihkan, bila di luar mesyuarat (MKT), Ahmad Zahid berkata: “No Anwar! No DAP!”. Itu satu pembohongan kepada ahli UMNO," dakwa Tajuddin lagi dalam sidang media khas di pejabatnya di sini, pada Isnin.

Dalam sidang media itu, Tajuddin yang ditanya oleh wartawan sama ada Presiden UMNO turut menandatangani SD berkenaan, ini jawapan beliau: “Mestilah, dia (Ahmad Zahid) kepala.” 

UMNO | Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan MKT

 
Tambah Tajuddin lagi, satu pertemuan antara Ahli Parlimen UMNO telah berlangsung di sebuah hotel di Kampung Baru, Kuala Lumpur ketika itu untuk menandatangani SD menyokong Presiden PKR sebagai Perdana Menteri dalam jajaran baharu politik antara parti berkenaan dengan Pakatan Harapan (PH).

"Ya, jajaran baharu UMNO-PH memang Zahid ada usahakan di sebuah hotel di Kampung Baru. Di situlah ahli-ahli Parlimen tandatangan termasuk Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Nazri Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz).

"Hakikat sebenar beliau (Ahmad Zahid) tidak puas hati sebab beliau tidak dapat jawatan PM bila UMNO kembali berkuasa sebagai kerajaan," katanya lagi.

Meskipun digugurkan daripada jawatan MKT UMNO, jelas Tajuddin, Ahmad Zahid juga perlu mengikut langkahnya dan menumpukan kepada kes mahkamah yang sedang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

"Ahmad Zahid bukan berjuang untuk parti, tetapi mahu kembali berkuasa sebagai Presiden UMNO.

"Oleh kerana kepimpinan UMNO cadang saya ditukar supaya tumpu jawatan Duta Besar, saya pula hendak cadangkan Ahmad Zahid tumpu kes mahkamahnya yang banyak dahulu.

"Tidak payah beliau hendak pening kepala uruskan parti UMNO yang besar. Jangan kerana kes mahkamahnya, akhirnya beliau menjadi liabiliti dan membebankan UMNO," kata Tajuddin lagi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini mengumumkan Tajuddin digugurkan daripada jawatan ahli MKT UMNO.

Ahmad bagaimanapun enggan mengulas punca pengguguran berkenaan dan hanya menzahirkan penghargaan atas komitmen Ahli Parlimen Pasir Salak itu selama ini.

Bagaimanapun pada Jumaat, Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran tindakan yang dikenakan terhadap Tajuddin itu disebabkan kesalahan yang dilakukannya.