KUALA TERENGGANU: Keputusan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman akan dibuat selepas perbincangan bersama pimpinan Pas.

Peguam yang mewakili calon Pas bagi Parlimen Kemaman, Wan Rohimi Wan Daud berkata, perbincangan itu bagi mengetahui tindakan yang bakal diambil selepas ini sama ada perlu mengemukakan rayuan atau sebaliknya.

Wan Rohimi berkata, pihaknya setakat ini belum menetapkan sebarang tarikh untuk memfailkan rayuan tersebut.

"Beri saya masa seminggu sebab tiada tarikh ditetapkan sebab nak berbincang dahulu dengan pimpinan Pas Terengganu dan Pas pusat apa kaedah terbaik perlu dilakukan.

"Kita tak takut pilihan raya. Kalau boleh nak lawan esok terus tapi kita tengok apa pertimbangan yang lain," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Sementara itu, calon Pas bagi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid menyerahkan kepada kepimpinan pas berhubung keputusan sama ada membuat rayuan atau tidak.

"Nak rayu dalam tempoh 14 hari ini, kita buat atau sebaliknya. Ia bergantung pada keputusan kepimpinan dan apa-apa keputusan kita terima," ulasnya.

Pada Selasa, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

Pada 3 Januari lalu, Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 12 Februari, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan BN dan mengekalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.

Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemuka oleh BN dan pengundi dari Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.

Ahmad tewas dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada Pilihanraya Umum ke-15.

Beliau yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu tewas kepada Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.

Che Alias yang juga merupakan penyandang kerusi parlimen itu memperoleh 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

Dua lagi pencabarnya, iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Pejuang memperoleh 506 undi. -Sinar Harian