Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, khabar angin yang mengatakan beliau adalah orang kuat kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak memegang jawatan itu, adalah kurang tepat.

Ujarnya, keputusan memilih beliau sebagai Menteri Besar adalah atas restu Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta pemilihan yang dibuat Sultan Selangor ketika itu dan bukan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

"Bercakap bahawa saya pilihan Datuk Seri Azmin, benar, tetapi separuh masak ataupun separuh benar, ataupun kurang tepat.

"Yang tepat, ialah saya adalah sebahagian yang dipilih oleh dua orang dan akhirnya dipilih atas kebijakasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor) dan restu parti," katanya ketika ditemui selepas program Bicara Minda anjuran Sinar TV, di sini pada Jumaat.

Katanya, isu berkenaan dilihat berterusan cuba dimainkan oleh sesetengah pihak.

Namun bagi Amirudin, belum sampai waktunya beliau menyangah mahupun melayan perkara berkenaan yang dianggap kurang penting berbanding fokusnya terhadap memimpin negeri itu.

"Selamanya orang menganggap saya ini orang Azmin Ali dan memang saya daripada cabang Gombak, bekas ketua cabang saya adalah Azmin dan sekarang saya mewarisi kerusi Menteri Besar daripada Azmin dan saya pegang kerusi cabang Gombak di atas restu saudara Azmin Ali.

"Saya akan bagi keputusan itu setelah keputusan itu betul betul berlaku, jadi sekarang ini masih belum berlaku saya tidak buat keputusan kerana orang politik ini buat keputusan bila tiba saat itu," tambahnya.