TAWARAN Pakatan Harapan (PH) mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua (TPM2) bagi Malaysia Timur tidak sama seperti dicadangkan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan tiga jawatan TPM.

Menurut Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Kelvin Yii Lee Wuen, jawatan TPM2 yang dijanjikan PH sejak era Pakatan Rakyat (PR) bertujuan mempercepatkan kemajuan di Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, jawatan itu juga bersesuian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang diluluskan tahun ini dan memberi taraf sama rata kepada negeri Sabah, Sarawak serta Semenanjung.

"Peranan TPM2 dalam hal ini adalah untuk memastikan lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan serta memantau pembangunan yang terbaik untuk rakyat di kedua dua negeri.

"Tambahan pula kedudukan Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan yang bakal dimajukan secara besar besaran oleh pemerintah negara jiran kerana ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara akan dipindahkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Sehubungan itu, Kelvin menyatakan seharusnya Sabah dan Sarawak mempunyai infrastruktur berkelas dunia dan boleh menerima limpahan kemakmuran yang bakal dibawa oleh negara kuasa ekonomi ke-5 besar di dunia sebelum tahun 2030 berkenaan.

"Jawatan TPM2 bukanlah tawaran semberono kepada parti parti politik di Malaysia Timur untuk membentuk Kerajaan Persekutuan tetapi polisi bagi memakmurkan rakyat Sabah dan Sarawak memperolehi kemajuan yang setara dengan penduduk di Semenanjung,"ujarnya.