KUALA LUMPUR: Tawaran rentas politik yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ikhlas, berani dan bertanggungjawab demi menyelamat dan membebaskan negara daripada krisis COVID-19.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, jika benar Perdana Menteri bermain politik, beliau sememangnya boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ujarnya, ia juga selari seperti yang didesak blok pembangkang termasuk UMNO sendiri.

"Bagaimanapun, Muhyiddin tidak berbuat demikian kerana menyedari sekarang ini bukan waktu yang
terbaik, ketika kerajaan sedang bertungkus lumus memerangi wabak COVID-19 yang telah melumpuhkan negara. Sebaliknya beliau memberi bayangan PRU15 akan diadakan Julai tahun depan.

"Begitu juga desakan supaya Muhyiddin segera meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas dakwaan hilang majoriti. Saya berpendapat beliau sendiri sudah mengambil maklum keadaan tersebut dengan mengemukakan cadangan diadakan usul percaya terhadapnya di Parlimen tidak lama lagi.

"Di sinilah saya melihat Muhyiddin mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. Walhal beliau boleh bila-bila masa meletakkan jawatan dan 'lepas tangan' tetapi saya yakin beliau lebih memikirkan nasib rakyat dan negara di samping amanah yang beliau pikul," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Sabtu.

BACA: Tawaran persefahaman rentas parti demi rakyat dan negara - Gerakan

BACA: 
Pembangkang perlu rebut peluang kerjasama rentas politik demi negara - PBS

[TERKINI] Ucapan Khas Perdana Menteri | 13 Ogos 2021

Dalam pada itu kata Syed Ali, kerana itu Muhyiddin memilih jalan dengan diadakan undi percaya dan menjanjikan PRU15 akan diadakan pada Julai tahun hadapan dengan mengambil kira suasana semasa pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Ali turut menyatakan, pemimpin UMNO yang masih kekal berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah mereka yang setia kepada perjuangan parti demi kepentingan rakyat khususnya orang Melayu dan negara Melayu-Islam.

"Untuk mengkhianati kepada masa depan orang Melayu dan negara Islam, kesemua mereka (menteri dan timbalan menteri UMNO) boleh meletakkan jawatan daripada Kabinet, tetapi apakah tindakan mereka itu akan memberi keselesaan kepada orang Melayu dan UMNO khususnya yang sekarang ini dilanda dengan krisis keyakinan dan kepimpinan?.

"Apalah sangat untuk menteri dan timbalan menteri daripada UMNO itu mengambil sedikit masa untuk kekal menyokong Muhyiddin sehingga PRU15 daripada akan dikenang sebagai kumpulan petualang yang bertanggungjawab menumbangkan sebuah kerajaan Melayu Islam.

"Saya tetap beranggapan bahawa Muhyiddin telah menjalankan tanggungjawab yang ikhlas dan
terbaik selaku seorang Perdana Menteri dalam menangani situasi yang amat getir ini tanpa memikirkan serangan politik bertali-arus, manakala pemimpin UMNO dalam kerajaan PN diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuktikan mereka adalah pejuang UMNO sejati dan bukannya pengkhianat kepada masa depan orang Melayu," ujarnya.

Tambahnya, rakyat sendiri yang akan menentukkan keabsahan sesebuah kerajaan itu menerusi PRU akan datang dan hak serta kebebasan mereka memilih sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab membina masa depan yang lebih gemilang khususnya untuk bangsa Melayu berteraskan sebuah kerajaan Melayu-Islam amnya.