SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara tidak rasmi memperoleh mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu apabila berjaya memperoleh majoriti dua pertiga dengan kemenangan di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkara itu diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, pada Sabtu.
“Keputusan ini akan turut membawa satu gelombang biru dan biru pekat yang telah bermula di negeri Johor dan Insya-Allah ianya akan menular di negeri Melaka.
“Mandat ini membawa mesej yang jelas rakyat mahukan keadilan, inilah makna perpaduan yang dirindui rakyat Malaysia dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, pada Sabtu.
Ketika ditanya mengenai urusan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, beliau berkata ia akan diadakan secepat mungkin.
“Kami akan mengadakan perbincangan susulan kedua-dua parti gabungan ini berkaitan dengan memuktamadkan pembentukan Kerajaan Negeri yang baharu atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan juga Undang Yang Empat," ujar beliau.
Tambah Ahmad Zahid, mandat yang diberikan rakyat bukan alasan untuk mana-mana pihak bermegah, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi pentadbiran yang stabil, berwibawa dan berorientasikan kebajikan rakyat.
“Insya-Allah, kami menerima keputusan ini dengan penuh rendah diri, tawaduk dan rasa tanggungjawab. Kepercayaan rakyat bukanlah alasan untuk kita bermegah, angkuh, sombong, dan ujub.
“Sebaliknya, kemenangan dan mandat ini mesti dibalas dengan kerja keras, pentadbiran yang berwibawa serta khidmat yang terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada pengundi, jentera parti, sukarelawan dan semua pihak yang membantu sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Pada edisi PRN Negeri Sembilan ke-15, PH memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan PN (lima).