SEREMBAN: Politik identiti dan kempen perkauman yang mendominasi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini disifatkan Pakatan Harapan (PH) antara faktor kekalahan gabungan itu.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu menenggelamkan perbahasan mengenai prestasi pentadbiran dan manifesto diketengahkan PH semasa kempen.
Tegasnya, isu berkaitan prestasi kerajaan dan manifesto tidak lagi menjadi topik utama dalam kalangan pengundi apabila kempen lebih tertumpu kepada sentimen kaum dan identiti.
"Malangnya, manifesto bukan menjadi perbincangan, bukan menjadi topik perbincangan. Perbincangan lebih kepada sama ada ini Melayu atau bukan Melayu, sama ada anda menyokong DAP atau tidak.
"Saya rasa kebanyakan daripada anda telah melihat video kempen semalam yang mendakwa Pakatan Harapan tidak tahu mengucap kalimah syahadah.
"Saya fikir inilah cara politik identiti dimainkan di lapangan,” katanya semasa sidang media PH di sini, hari ini.
Menurut beliau, PH telah berusaha menyampaikan mesej melalui media sosial, media arus perdana serta kempen dari rumah ke rumah, selain mengedarkan manifesto kepada pengundi.
Bagaimanapun katanya, usaha itu tidak berjaya menjadikan manifesto sebagai fokus utama perbincangan sepanjang kempen pilihan raya.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan PH hanya memperoleh 11 kerusi daripada 36 kerusi yang dipertandingkan pada PRN kali ini.