Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: 'Agro-farming', kemahiran AI antara 14 tawaran Laveen Bala di DUN Gadek

Dalam usaha memperkasa golongan muda, Laveen turut bercadang memperkenalkan pendedahan dan pembelajaran AI secara percuma, bermula di peringkat tadika dan sekolah rendah hingga sekolah menengah serta prauniversiti. - ASTRO AWANI
Dalam usaha memperkasa golongan muda, Laveen turut bercadang memperkenalkan pendedahan dan pembelajaran AI secara percuma, bermula di peringkat tadika dan sekolah rendah hingga sekolah menengah serta prauniversiti. - ASTRO AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Calon BERSAMA DUN Gadek, Laveen Bala, menawarkan 14 agenda pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan belia dan kemahiran AI untuk lima tahun akan datang.
  • Pelaksanaan agenda tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan negeri, sebaliknya menggalakkan kerjasama CSR syarikat swasta dan badan kerajaan.
  • Laveen mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus tawaran dilaksanakan dalam dua tahun, dengan PRN Melaka menyaksikan saingan empat penjuru di Gadek.
Advertisement

ALOR GAJAH: Calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, Laveen Bala, menawarkan 14 agenda khusus untuk kawasan itu dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi kampung, peluang pekerjaan belia serta penguasaan kemahiran kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata kesemua 14 tawaran itu dirangka sebagai pelan pembangunan khusus DUN Gadek yang disasarkan untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Laveen berkata pelaksanaannya tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan negeri, sebaliknya turut menggalakkan kerjasama menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan syarikat swasta dan badan kerajaan, khususnya yang beroperasi di kawasan perindustrian Pegoh.

Advertisement

Antara agenda yang diketengahkan ialah pelaksanaan projek agro-farming secara berperingkat, termasuk penternakan ikan tilapia, ayam, itik dan kambing serta pembangunan industri kecil-kecilan berasaskan komuniti.

"Dan secara sederhana, kita mahu membangunkan industri kecil-kecilan kerana kawasan di Gadek mempunyai tanah yang luas dan berpotensi menjana pendapatan kepada masyarakat setempat. Kerajaan perlu membantu usaha ini.

Advertisement

"Saya melihat dalam tempoh 10 tahun lepas, projek seumpama ini kurang diberi perhatian. Kebiasaannya projek hanya dilaksanakan dalam tempoh singkat, enam hingga lapan bulan, sebelum terbengkalai.

"Industri kecil-kecilan ini perlu dilaksanakan secara berterusan kerana ia merupakan sumber pendapatan penduduk kampung. Kita mahu industri ini terus dirangsang dan dikembangkan.

"Apa yang saya cadangkan ini bukan perkara baharu, malah sudah lama diharapkan oleh masyarakat. Namun, wakil rakyat sebelum ini dilihat kurang agresif dalam membangunkan sektor industri di kawasan berkenaan," katanya dalam temubual bersama Astro AWANI, di sini.

Dalam usaha memperkasa golongan muda, Laveen turut bercadang memperkenalkan pendedahan dan pembelajaran AI secara percuma, bermula di peringkat tadika dan sekolah rendah hingga sekolah menengah serta prauniversiti.

Memiliki pengalaman lebih 27 tahun dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), tambahnya kemahiran itu bukan sahaja penting untuk meningkatkan kebolehpasaran belia, malah boleh dimanfaatkan bagi mempromosikan produk industri kecil-kecilan dan perniagaan tempatan.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan membantu mengurangkan penghijrahan anak muda dari Gadek yang terpaksa mencari peluang pekerjaan di luar kawasan berikutan kekurangan peluang ekonomi setempat.

“AI secara percuma penting untuk membantu mempromosikan industri kecil-kecilan serta meningkatkan peluang pekerjaan.

"Pada masa ini, kemahiran AI semakin diperlukan dalam dunia pekerjaan. Tanpa pengetahuan dan kemahiran tersebut, agak sukar untuk seseorang bersaing dalam pasaran kerja," katanya lagi.

Mengulas kemudahan perkhidmatan kepada penduduk, Laveen berkata beliau mencadangkan pelaksanaan Hari Aduan Rakyat secara dalam talian setiap bulan, selain turun padang sekurang-kurangnya setiap minggu atau dua minggu bagi bertemu penduduk secara bersemuka.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memudahkan golongan warga emas dan penduduk yang berdepan kekangan untuk hadir ke pejabat DUN menyampaikan aduan serta mendapatkan bantuan.

Beliau turut merancang menganjurkan program sukan dan kenduri bersama setiap bulan bagi mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum di kawasan itu.

Dalam pada itu, Laveen turut berpandangan hal ehwal agama perlu diasingkan daripada campur tangan politik, termasuk urusan pelantikan jawatankuasa masjid dan surau, imam serta bilal.

Beliau juga menetapkan sasaran supaya sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 14 tawaran berkenaan dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Antara tawaran lain ialah mewujudkan perhentian bas baharu; tadika pertama untuk masyarakat India; cawangan pertama pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; kedai runcit pertama; atasi masalah sistem saluran air ke kawasan perumahan; pencegahan masalah banjir; serta meluaskan seni mempertahankan diri bagi membanteras kes buli di sekolah.

Dalam PRN Melaka kali ini, DUN Gadek menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan Laveen; Nadarajah Sellappa (Barisan Nasional); Jegan K (Pakatan Harapan); dan Laila Norinda Maon (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian.

 

 

Must Watch Video

Advertisement