ALOR GAJAH: Barisan Nasional (BN) mencadangkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terus menjalankan amanah sebagai Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu berdasarkan prestasi Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ab Rauf, yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
"Kita berharap selepas ini dapat membentuk kerajaan BN.
"Dengan tidak mendahului kuasa-kuasa yang ada, terutama Kabinet Melaka, tetapi saya sebagai Pengerusi BN akan mencadangkan supaya Ab Rauf terus menjalankan amanah sebagai Ketua Menteri Melaka, insya-Allah," katanya ketika ditemui media selepas proses Penamaan Calon di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, di sini pada Sabtu.
Mengulas keyakinan BN dan rakan strategiknya untuk memenangi kerusi pada PRN kali ini, Ahmad Zahid berkata pihaknya menyerahkan kepada mandat rakyat untuk menterjemahkan sokongan pada 14 November depan.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri itu menambah BN dan PN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN dengan UMNO meletakkan calon di 18 kerusi, MCA (empat) dan MIC (satu).
Beliau menyifatkan penyertaan MCA yang bertanding di empat kerusi sebagai manifestasi kebersamaan dalam BN, sekali gus menepis jangkaan bahawa parti itu akan memboikot PRN Melaka.
Dalam pada itu, beliau turut berharap kempen PRN Melaka berlangsung dalam suasana tenang tanpa fitnah atau tindakan yang boleh mencemarkan proses demokrasi.
Penamaan Calon PRN Melaka berlangsung hari ini, sementara hari pengundian awal ditetapkan pada 10 November depan.